“Ia sesuatu yang dinantikan dan warga kota perlu mengambil peluang ini. Itu antara reaksi Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mhd. Amin Nordin Abd. Aziz ketika ditanya mengenai perkhidmatan MRT Fasa Ke­dua SBK yang dibuka kepada orang ramai sepenuhnya pada pukul 4 petang ini.

Beliau berkata, sesebuah bandar raya bertaraf dunia bukan sahaja tertumpu kepada keunikan dan kelebihan yang ada pada bandarnya, malah kebolehcapaian dalam semua aspek termasuk pembangunan prasarana meliputi sistem pengangkutan awam yang sistemetik dan efisien.

“Projek berimpak tinggi itu memberi kesan positif kepada rakyat terutama mereka yang be-kerja di bandar raya dan kawasan sekitar.

“Bukan sahaja kesesakan lalu lintas dapat dikurangkan, malah masa, wang ringgit juga dapat dijimatkan. Mereka tidak perlu lagi memandu ken-deraan sendiri dan memikirkan untuk membayar caj parkir setiap kali masuk ke pusat bandar raya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan MRT Fasa Kedua SBK yang merupakan ilham beliau sendiri untuk dimanfaatkan 1.2 juta penduduk.

Pembukaan 19 stesen baharu yang bermula dari Semantan ke Kajang itu melalui beberapa kawasan utama di ibu negara.

“Antara stesen-stesen tersebut ialah Pasar Seni, Bukit Bintang, Merdeka, Tun Razak Exchange dan Maluri. Kesemua stesen tersebut menggunakan laluan bawah tanah.

“Selain itu, antara stesen lain yang turut dibina di bawah tanah ialah Stesen Muzium Negara dan Cochrane namun selebih­nya dibina menggunakan konsep stesen bertingkat seperti MRT Fasa 1.

Pembukaan MRT yang menelan belanja lebih RM22 bilion itu dijangka dapat mengurangkan kesesakan kerana pengangkutan awam mega itu mampu membawa 400,000 penumpang pada setiap hari.