Sepanjang hampir 300 meter laluan tepi tebing sungai itu, bau yang cukup tidak men­yenangkan dapat dihidu akibat lambakan sampah seperti kulit haiwan, bulu ayam ternakan, lampin pakai buang dan pelbagai sisa buangan harian.

Apa yang membimbangkan adalah kedudukan Sungai Gangsa yang merupakan salah satu daripada sumber air kepada Empangan Durian Tunggal yang akan dicemari bahan-bahan yang boleh memudaratkan kesihatan orang ramai walaupun ianya ditapis.

Seorang penduduk yang ditemui mendakwa, kerja membuang sampah itu dilakukan oleh pihak tidak dikenali tetapi mereka dipercayai menggunakan kenderaan termasuk lori, kenderaan pacuan empat roda yang datang membuang sampah dan sisa industri pada waktu malam.

“Kami penduduk sudah lali dengan sampah sarap ini tetapi perbuatan mereka yang membuang sampah di tempat tidak sepatutnya tidak seharusnya berlaku dan tindakan harus diambil oleh pihak berkuasa.

“Negeri Melaka mengamalkan slogan ‘Pintar, Hijau, Bersih’ tapi saya sendiri malu jika ada orang luar datang dan melihat sampah sarap yang dibuang sebegini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kampung Belimbing Dalam di sini baru-baru ini.

Tinjauan yang dibuat mendapati laluan yang agak tersorok itu dipenuhi sampah yang mendatangkan bau busuk dan meloyakan.

Pemerhatian di lokasi juga mendapati terdapat pemasangan pita larangan yang dipasang oleh pihak berkuasa bagi menghentikan aktiviti pembuangan sampah di kawasan itu namun seperti tidak berkesan.

Sehubungan itu, penduduk kampung menggesa kerajaan negeri melihat perkara ini dan menyelesaikannya secepat mungkin keran bimbang keadaan akan menjadi bertambah teruk sehingga menjejaskan kesihatan orang ramai.