Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, kerajaan tidak campur tangan dalam penetapan kadar dividen tersebut kerana pulangan yang diberikan berdasarkan keuntungan diperoleh menerusi pelaburan dibuat di dalam dan luar negara.

“Kadar dividen 6.9 dan 6.4 peratus yang diberikan oleh KWSP misalnya merupakan hasil pelaburan yang dibuat mereka di dalam dan luar negara.

“Ini bukan gula-gula pilihan raya umum yang akan datang. Ini masalah di Malaysia apabila setiap perkara yang baik dibuat oleh kerajaan pasti dikaitkan dengan pilihan raya,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas agihan kadar dividen yang diberikan oleh KWSP sebanyak 6.9 peratus bagi simpanan konvensional dan 6.4 peratus bagi simpanan syariah untuk tahun 2017 dengan jumlah agihan dividen keseluruhan RM48.13 bilion.

Sementara Tabung haji pula mengumumkan agihan hibah atau bonus bagi tahun kewangan 2017 pada kadar 6.25 peratus, termasuk tambahan hibah haji sebanyak 1.75 peratus kepada pendeposit yang belum pernah menunaikan haji.

Terdahulu, beliau menerima kunjungan hormat pemenang pingat emas dalam acara lebuh raya masters (40-44 tahun) sempena Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) di Nay Pyi Taw, Myanmar, Norhasmat Abdul Aziz di pejabatnya di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE.