JKKN dalam kenyataan berkata, usaha itu diterjemahkan dalam bentuk pemberian insentif bantuan seni dan budaya kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bermula April sehingga Oktober ini.

Katanya, insentif itu bertujuan memberi sokongan, dorongan dan galakan kepada penggiat seni untuk menghasilkan sesuatu karya atau produk yang melibatkan kos rendah tetapi berimpak tinggi, sekali gus menggalakkan kandungan tempatan baharu.

“Antara insentif seni yang ditawarkan adalah berbentuk kewangan, ruang, kepakaran atau khidmat nasihat dan promosi melalui medium digital dan media sosial terus kepada mereka dengan kriteria seperti visi, idea dan konsep yang jelas dan mapan.

“Selain itu, penggiat seni perlu menunjukkan kaliber yang meyakinkan beserta butiran terperinci seperti aktiviti dan anggaran kos yang releven.

“Penggiat juga perlu merangka aktiviti atau karya seni bagi kepentingan masyarakat atau sekurang-kurangnya untuk komuniti seni itu sendiri dengan menyatakan potensi pulangan bagi menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara,” katanya di sini hari ini.

Menurut kenyataan itu, bagi yang berminat memohon insentif tersebut, mereka perlu mempunyai pertubuhan atau kumpulan yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) mengikut akta pendaftaran pertubuhan 1966 atau berdaftar dengan mana-mana pihak berkuasa.

“Kami berharap dengan adanya empat empat insentif seni ini, ia dapat membantu penggiat seni, NGO dan juga individu yang memerlukan bantuan dan khidmat daripada JKKN demi merealisasikan impian dan hasrat untuk mengadakan persembahan atau aktiviti seni budaya,” tambah kenyataan itu.

NGO atau penggiat seni yang berminat boleh terus menghubungi JKKN melalui talian 03-2614 8200 atau menghantar surat secara rasmi serta boleh melayari laman web JKKN untuk mendapatkan bantuan kewangan bermula dari RM1,000 sehingga RM15,000. - UTUSAN ONLINE