Langkah itu dilaksanakan ber­ikutan kejadian maut yang menimpa seorang remaja lelaki ber­usia 15 tahun akibat ditimpa kerusi yang dibuang dari tingkat 21, Blok 102, PPR Seri Pantai, di sini pada 15 Januari lalu.

Namun, persoalan yang timbul dan perlu dikaji secara lebih mendalam adakah usaha itu dapat mengubah atau menyelesaikan masalah yang berpunca daripada sifat tidak bertanggungjawab pen­­duduk.

Jika sikap penduduk masih tidak berubah, besar kemungkinan pemasangan penghadang ke­selamatan itu akan berakhir menjadi ‘perangkap sampah’ yang memudahkan lagi mereka yang pemalas dan bersikap lepas tangan untuk membuang sampah dari kediaman mereka.

Tinjauan Utusan Malaysia di PPR Seri Pantai, di sini mendapati, jaring keselamatan yang dipasang sejak hujung Januari lalu kini dipenuhi longgokan sampah seperti plastik, kertas, kayu, tin ma­kanan dan minuman.

Pemerhatian di pangsapuri yang dihuni oleh kira-kira 2,000 penduduk itu juga mendapati kawasan persekitaran masih lagi kotor, tidak terurus dengan bau kurang menyenangkan terutama di kawasan tangga pangsapuri di bawah seliaan DBKL itu.

Senario ini, sekali gus mencerminkan sikap pentingkan diri segelintir penghuni yang masih lagi bermentaliti kelas ketiga dan tidak mempunyai ke­sedaran sivik.

Penduduk mendakwa, kes pem­buangan sampah dari tingkat atas kediaman bukan perkara baharu sebaliknya berlaku sejak lebih 15 tahun lalu. Bahkan ada yang sanggup mencampakkan objek-objek besar dan berbahaya seprti kayu, besi dan batu-bata tanpa rasa bersalah.

Sehubungan itu, kebanyakan penduduk berpendapat, langkah DBKL memasang jaring ke­selamatan yang bertujuan mewujudkan persekitaran lebih selamat itu sebenarnya tidak akan menyelesaikan masalah sebaliknya menggalakkan orang ramai terus membuang sampah dari unit kediaman masing-masing.

Antara langkah yang dicadangkan adalah pemasangan CCTV di pangsapuri bagi memantau tindakan tidak bertamadun penduduk supaya dapat dibawa ke muka pengadilan itu.