Tidak mahu menunding jari kepada mana-mana pihak dalam isu ini namun, difahamkan masalah berkenaan berlaku selepas pengurusan perkhidmatan bas henti-henti berkenaan diambil-alih oleh sebuah syarikat swasta.

Rata-rata pengguna yang di­­temui menyifatkan sistem perkhimatan bas henti-henti di sini kelam-kabut serta menyusahkan kerana tidak menepati jadual perjalanan selain ada la­luan tidak dilalui secara tiba-tiba sahaja tanpa notis.

Pengguna juga kecewa apabila syarikat pengendali bas berkenaan gagal membuat hebahan sebaik mungkin menge­nai setiap perubahan laluan dan pengumuman penting yang melibatkan operasi pengangkutan awam itu.

Masalah yang dihadapi diakui pihak pengurusan dan pada 26 Mac, melalui laman sosial Facebook 'Nadiputra' mereka memuat naik status mengumumkan perkhidmatan bas mengalami masalah teknikal tanpa sebarang penjelasan lanjut.

Status itu mengundang pelbagai reaksi pengguna yang rata-ratanya mengecam kerana tiada hebahan dibuat mengenai masalah tersebut selain terta­nya-tanya apa masalah sebenar yang dihadapi oleh perkhidmatan bas henti-henti itu.

Rata-rata pengguna menya­lahkan pengurusan baharu yang didakwa gagal menguruskan perkhidmatan pengangkutan awam itu dengan baik sekali gus menyusahkan pengguna untuk ke tempat kerja selain untuk anak-anak pergi dan pulang dari sekolah.

Ingin mendapatkan kepasti­an terhadap beberapa aduan mengenai kebanyakan bas yang mengalami kerosakan, Utusan Malaysia membuat tinjauan di depoh simpanan bas Nadiputra di Presint 9 dan dakwaan itu ternyata ada asasnya.

Tinjauan mendapati terda­pat lambakan bas di depoh simpanan tersebut dan seolah-olah bas yang ditempatkan di kawasan itu mengalami kerosakan namun, tiada kerja-kerja penyelenggaraan dilakukan.

Seorang pengguna, Noradila Mohamed Azhar, 51, berkata, dia berdepan dengan masalah setiap kali mahu menggunakan perkhidmatan bas di Putrajaya dan adakalanya terpaksa me­nunggu sehingga dua ke tiga jam untuk mendapatkan bas.

“Saya harap masalah kelewatan bas ini dapat diatasi sebaik mungkin, kerajaan sarankan kita guna pengangkutan awam tetapi mutu perkhidmatannya amat teruk. Disebabkan masalah ini, saya lambat ke pejabat, kawan-kawan lain pun sama,” katanya.

Dalam itu M. Nilam Ilampaaitpy, 41, berkata, dia sudah membuat beberapa aduan kepada Kementerian Wilayah Persekutuan mengenai masalah bas di Putrajaya namun, sehingga kini tiada penyelesaian dan mutu perkhidmatan bas semakin teruk.