Ketua Pegawai Eksekutif IWK, Faizal Othman berkata, dakwaan tersebut adalah tidak benar kerana caj perkhidmatan pembetungan yang dikenakan kepada pengusaha-pengusaha stesen minyak adalah berdasarkan kepada caj asas sahaja.

Namun demikian, katanya, bagi pengusaha hotel pula caj pembetungan yang dikenakan pada bil perkhidmatan adalah termasuk dengan caj asas yang berserta caj penggunaan air melebihi 100 meter padu.

“Caj asas adalah bergantung kepada maklumat nilai tahunan sesebuah premis yang diperoleh daripada pihak berkuasa tempatan. Walau bagaimanapun tiada caj penggunaan air berlebihan dikenakan kepada pengusaha stesen minyak,” jelasnya melalui satu kenyataan di sini hari ini.

Baru-baru ini PDAM mengeluarkan kenyataan bahawa IWK memberi potongan bil kepada pengusaha hotel berbanding pengusaha stesen minyak ekoran kejadian jualan kupon bagi penggunaan tandas di sebuah stesen minyak di Kuala Terengganu. - UTUSAN ONLINE