Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad berkata, pihaknya akan membentangkan perkara tersebut kepada kabinet bulan depan sebelum dimuktamadkan sama ada ia diteruskan atau tidak.

“Kita akan bawa cadangan dan serahkan kepada kabinet untuk membuat keputusan sama ada bayar balik kepada pemaju sekiranya batal atau seperti mana yang dicadangkan iaitu meneruskan pembangunan tersebut dan terima sahaja kecaman daripada penduduk.

“Jika kita nak batalkan memang akan bayar balik kepada pemaju sebanyak lebih RM150 juta, tidak ambil kira tuntutan-tuntutan lain,”katanya kepada pemberita hari ini selepas melancarkan program Perumahan Ku Bersih di Projek Perumahan Rakyat, Taman Beringin di sini.

Bagaimanapun, Khalid berpendapat projek pembangunan itu wajar diteruskan apabila pembangunan bagi tanah lot seluas 4.8 hektar itu mahu dikurangkan kepada 3.2 hektar selepas mengambil kira bantahan daripada penduduk setempat.

Sebelum ini, penduduk di kawasan berkenaan telah membuat bantahan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur agar projek pembangunan itu tidak diteruskan kerana mendakwa bakal mengancam kelestarian alam sekitar.- UTUSAN ONLINE