Bersandarkan perkiraan itu, keruntuhan akhlak dalam kalangan remaja yang kian meruncing pada masa kini cukup membimbangkan jika tidak dikawal dengan baik.

Kemerosotan akhlak dan moral dalam kalangan remaja sebenarnya banyak dipengaruhi perubahan cara hidup masyarakat yang lebih bersifat individualistik dan juga kesan daripada perkembangan teknologi yang tidak terkawal.

Menurut Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, sebanyak 1,440 kes jenayah melibatkan pelajar sekolah menengah dilaporkan tahun lalu berbanding 1,302 pada tahun sebelumnya.

Peningkatan itu melibatkan kes-kes jenayah berat seperti bunuh, rogol, ragut, pecah rumah, pelacuran, mencederakan orang awam dan kecurian.

Persoalannya, siapa yang harus dipertanggungjawabkan sehingga masyarakat ‘melahirkan’ generasi yang tidak lagi mampu mempertahankan prinsip dan nilai-nilai murni.

Selain kesan negatif daripada teknologi tanpa batasan, golongan remaja kini dilihat lebih terdedah kepada pengaruh rakan sebaya dan sentiasa mahu mencuba sesuatu yang baharu.

Pengaruh yang lebih dominan dalam kalangan rakan sebaya berbanding bimbingan daripada ahli keluarga menyebabkan mereka mudah tersasar.

Situasi itu diburukkan lagi dalam hubungan institusi kekeluargaan yang semakin merosot menyebabkan golongan remaja semakin terabai.

Kurangnya perhatian daripada ahli keluarga boleh dikatakan antara punca utama generasi muda terdedah kepada anasir-anasir tidak baik yang akhirnya mengheret mereka ke kancah jenayah.

Situasi itu lebih serius dalam kalangan ibu bapa yang hidup di bandar-bandar besar selain dihimpit kos sara hidup yang semakin tinggi.

Bukan hanya di bandar, masalah sosial kini menular ke kawasan luar bandar dengan peningkatan kes-kes melibatkan jenayah seperti penyalahgunaan dadah dan minuman keras. seks bebas dan kelahiran anak luar nikah,

Natijahnya, masalah keruntuhan akhlak remaja ini bukan perkara kecil dan jika tidak ditangani mereka akan menjadi liabiliti kepada negara pada masa akan datang.