Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, inisiatif yang diambil kerajaan melalui PJSR dan KR1M 2.0 juga dilihat dapat membantu usaha-usaha menyerap impak inflasi.

Sehubungan itu, beliau berkata, rakyat digalakkan untuk berbelanja di PJSR yang menawarkan barangan lebih murah kerana ia berdasarkan harga dari ladang.

“Menjelang hujung tahun ini, kita harapkan harga barangan akan turun kerana sekarang ini pun saya dimaklumkan sudah terdapat kawasan yang menjual ayam pada harga kompetitif, lebih murah daripada PJSR.

“Ini menunjukkan golongan pemborong merasakan jika mereka tidak mengikut harga kita, orang tidak beli barangan mereka dan mereka akan rugi. Beginilah cara kita menangani masalah orang tengah. Kenaikan harga bukan sebabkan oleh cukai barang dan perkhidmatan (GST) tetapi kadangkala orang tengah yang menaikkan harga," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam Majlis Pengumuman dan Penjelasan Indeks Harga Pengguna (IHP) Januari 2018 di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah timbalannya, Datuk Henry Sum Agong; Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Jamil Salleh dan Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin.

Dalam pada itu, Hamzah berkata, beliau mengharapkan pelaksanaan program berkenaan pada akhirnya nanti dapat menstabilkan harga barangan keperluan di pasaran seterusnya menurunkan IHP negara pada masa akan datang.

“Kita bagi contoh, harga ayam di peringkat kebangsaan adalah dalam lingkungan RM8.50 ke RM9 satu kilogram (kg) tetapi menerusi PJSR dianggarkan RM6.50 satu kg,” katanya.

Habis