Itu kesimpulan yang menggambarkan sikap jelik penjaja dan peniaga tepi jalan di Kampung Baru, di sini sehingga menjejaskan imej dan identiti kampung berkenaan sebagai syur­ga makanan di ibu kota.

Operasi perniagaan mereka di situ dijalankan seolah-olah mempunyai ‘lesen besar’ malah tidak pernah menghiraukan undang-undang dan penguatkuasaan pihak berkuasa tempatan,

Tidak kisah di mana sahaja, asalkan boleh berniaga. Itulah sikap segelintir peniaga yang masih tidak dapat memahami dan mematuhi peruntukan undang-undang serta peraturan perniagaan,

Kebanyakan peniaga yang menguasai kawasan bahu jalan itu didakwa bukan sahaja tidak berlesen malah bertindak sesuka hati mendirikan gerai mudah alih tanpa rasa bersalah terutama di sepanjang laluan pejalan kaki dan di hadapan pintu masuk premis lain.

Meskipun ada peniaga yang sudah beberapa kali diberikan amaran dan notis oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) supaya tidak berniaga di situ, mereka tetap berdegil.

Tinjauan Utusan Malaysia di kawasan itu baru-baru ini mendapati dakwaan penduduk mengenai masalah yang mengganggu kesejahteraan penduduk itu berasas terutama di Jalan Raja Muda Musa bermula dari pintu gerbang sehingga Jalan Raja Alang.

Keadaan gerai yang tidak teratur itu bukan sahaja mengundang kesesakan terutama di waktu puncak malah mencacatkan pemandangan, sekali gus mengubah persepsi orang ramai di sebalik pesona dan tarikan di kawasan tumpuan itu.

Berdasarkan pemerhatian, kawasan yang dahulunya bersih kini dipenuhi sisa-sisa makanan, tumpahan minyak dan air limbah yang mengundang bau tidak menyenangkan.

Sementara itu, Penasihat Kesihatan dan Alam Sekitar, Lembaga Pentadbiran Malay Agricultural Settlement (MAS) Kampung Baru, Raden Salikun Mui berkata, imej Kampung Baru sepatutnya dipelihara dari segenap aspek dan ia menjadi tanggungjawab semua pihak.Katanya, perkara itu penting untuk mengekalkan kelesta-rian dan keunggulan Kampung Baru sebagai destinasi tum-puan pelancong selain menjadi pemangkin dalam melonjakkan ekonomi golongan Bumiputera.

“Kalau imej Kampung Baru ini tidak dijaga, apa yang boleh kita banggakan sebagai kampung tradisi Melayu berusia lebih 100 tahun sedangkan ia `tersepit’ dalam pembangunan di segi tiga emas ini.

“DBKL perlu menyelesaikan isu ini dengan cara menempatkan mereka di lokasi lain bagi mengembalikan imej Kampung Baru,” ujarnya yang juga penduduk Kampung Baru itu.