Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad, berkata, angka itu menunjukkan sikap pesalah yang menangguhkan bayaran kompaun sehingga membuatkan jumlah tunggakan semakin bertambah setiap tahun.

Sehubungan itu, katanya, DBKL mengambil inisiatif memberikan tawaran bayaran kompaun dengan kadar istimewa selama sebulan bermula 1 September ini bagi kompaun tertunggak untuk mengelak daripada dikenakan tindakan senarai hitam oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Mana-mana kompaun lama yang diterima sebelum 1 September perlu dijelaskan dalam tempoh sebulan itu untuk mendapat kadar khas yang ditetapkan iaitu RM20 untuk motosikal, RM30 untuk kereta dan RM50 untuk kenderaan berat.

“Dengan kadar khas yang ditetapkan ini, DBKL hanya akan dapat mengutip kira-kira RM100 juta daripada nilai tunggakan yang asal iaitu RM924 juta.

“Walaupun banyak pengurangan yang berlaku, kita hanya mahu pastikan supaya semua pesalah dapat membuat bayaran yang sekian lama tertunggak,” katanya dalam sidang akhbar di Menara DBKL 1, di sini hari ini.

Selain itu, Khalid berkata, DBKL juga memperkenalkan diskaun secara automatik bagi kompaun kesalahan-kesalahan trafik DBKL yang dikenakan bermula 1 September sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.

Katanya, langkah itu diambil sebagai usaha mengelakkan berlakunya tunggakan bayaran kompaun.

“Hanya RM15 dikenakan bagi kesalahan tempat letak kereta, lalu lintas dan halangan lalu lintas sekiranya dibayar dalam tempoh 48 jam di kaunter bayaran DBKL.

“Sementara diskaun seba­nyak RM30 diberikan untuk ketiga-tiga kesalahan tersebut bagi tempoh bayaran antara dua hingga 14 hari,” katanya.

Tambahnya, bagi tempoh bayaran 15 hingga 30 hari pula, pihaknya menawarkan diskaun sebanyak RM50 untuk kesalahan tempat letak kereta, RM150 kesalahan lalu lintas dan RM200 kesalahan halangan lalu lintas.

“Sekiranya melebihi 30 hari, kadar bayaran adalah pada kadar normal iaitu RM100 untuk kesalahan tempat letak kereta manakala RM250 dan RM300 bagi kesalahan lalu lintas dan halangan lalu lintas,” katanya.