Pemilik Mood Republik, Datuk Kimi Iskandar Ismail memberitahu, dalam berkongsi rezeki melalui acara ini dia turut memberi perhatian kepada tahap keselamatan pengunjung ke festival beli belah itu.

“Bagi pengunjung yang mahu menyertai acara hujan duit kami kenakan syarat yang ketat sebelum boleh masuk.

“Bagi kanak-kanak memang kami tidak benarkan langsung malah ibu bapa yang membawa anak-anak juga kami tidak akan benarkan untuk menyertai acara hujan duit ini,” katanya.

Dikatakan menggunakan acara itu sebagai cara untuk menarik lebih ramai pengunjung ke festival tersebut, Kimi menjelaskan, dia tidak pernah menggunakan paksaan untuk mereka berkongsi video hujan duit sehingga tular.

“Yang kami buat adalah untuk berkongsi rezeki malah duit yang digunakan dalam hujan duit itu juga adalah milik Mood Republik sepenuhnya.

“Apabila ada pihak yang tularkan video hujan duit, itu bukan di bawah tanggungjawab kami sebab kami tidak memaksa mereka untuk berkongsi di platform laman sosial,” katanya.

Acara hujan duit yang diadakan di Mood Republik mendapat pelbagai kecaman kerana dilihat tidak sesuai dengan budaya di negara ini.

Sementara itu KL Raya Fest tahun ini akan bermula 8 Jun hingga 11 Jun dan berlangsung selama 72 jam tanpa henti.

Tahun ini, seramai 97 selebriti antaranya Yana Samsudin, Zain Saidin, Emma Maembong, Ziana Zain, Fazura dan Elfira Loy bakal menyertai festival itu. - UTUSAN ONLINE