Tinjauan Utusan Kota di beberapa lokasi mendapati masih banyak kenderaan yang tidak diketahui statusnya di kawasan laluan penduduk walaupun pihak Majlis Perbandaran Seremban (MPS) sebelum ini pernah berusaha menangani masalah berkenaan.

Antara lokasi dipenuhi pemandangan menyakitkan mata itu adalah di sekitar Seremban 2, Taman Tasik Jaya dan sekitar Senawang.

Sebahagian besar daripada kenderaan yang rosak itu didapati dalam keadaan usang, berkarat dengan warna cat yang lusuh, cermin pecah malah ada yang sudah dilitupi semak samun.

SEREMBAN, 4 Februari 2019 - Jamil Khamis.Pemberita: AIDA FAIZLEN
Jamil Khamis 

Menurut peniaga, Jamil Khamis, 58, tindakan membiarkan kereta buruk di tempat awam seperti di tepi jalan, kawasan parkir dan kawasan perumahan mencacatkan imej daerah ini.

"Perbuatan itu bukan sahaja mencacatkan pemandangan bahkan menyusahkan orang ramai. Kereta-kereta terbiar ini juga mengambil ruang parkir yang sedia terhad.

"Di kawasan perumahan kebanyakan laluan agak sempit dan kereta-kereta buruk ini menyukarkan pergerakan penduduk," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menurut Jamil, kenderaan yang tersadai lama itu juga berpotensi menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes dan haiwan berbisa sekali gus membahayakan penduduk di kawasan berdekatan.

"Apabila hujan, air akan memasuki kereta dan bertakung. Keadaan ini mengundang kepada pembiakan jentik-jentik dan nyamuk aedes," ujarnya.

Selain di tempat-tempat awam, tinjauan juga mendapati kawasan bengkel kereta banyak menjadi tempat pengumpulan kenderaan terbiar.

Kebanyakannya dikatakan tidak dituntut oleh pemilik selain ada yang ditinggalkan kerana sudah tidak boleh dibaiki atau akibat tidak mampu menampung kos pembaikan.

KENDERAAN tersadai di Taman Setia Hati, Seremban, Negeri Sembilan.
KENDERAAN tersadai di Taman Setia Hati, Seremban, Negeri Sembilan. 

Justeru, orang ramai menggesa pihak berkuasa supaya mengambil tindakan tegas terhadap masalah itu termasuk melupuskan dan mengalih kenderaan-kenderaan tersebut ke kawasan yang sepatutnya.

Selain itu, aspek penguatkuasaan juga diharap dapat dipertingkatkan sebagai pengajaran kepada orang ramai supaya tidak meninggalkan kenderaan rosak sewenang-wenangnya.