MDHS merupakan pihak berkuasa tempatan pertama di Selangor yang menganjurkan Hari Inovasi pada tahun ini.

Program tahunan itu antara lain bertujuan meningkatkan kesedaran warga kerja MDHS terhadap kepentingan inovasi dan kreativiti dalam pelaksanaan kerja selain dapat meningkatkan lagi kualiti penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan.

Majlis perasmian disempurnakan TimbalanSetiausaha MDHS, Shaiful Rizza Piamin .

MDHS dalam kenyataan akhbarnya di sini berkata, terdapat dua kategori yang dipertandingkan iaitu Kategori Pengurusan dan Teknikal Produk.

“Bagi kategori Pengurusan, Jabatan Landskap telah dinobatkan sebagai pemenang dengan memperkenalkan Projek Komuniti Hijau manakala bagi kategori teknikal produk pula Bahagian Korporat telah dinobatkan sebagai pemenang dengan projek Lampu Pejabat RE.

“Semua pemenang telah membawa pulang sijil penghargaan, hamper serta wang tunai,” menurut MDHS dalam kenyataannya di sini.

Shaiful Rizza berkata, pihak pengurusan tertinggi sangat menyokong dan menggalakkan kakitangan menyertai program inovasi bagi mewujudkan individu yang sentiasa berfikiran kreatif dan tidak terikut dengan sistem yang sedia ada.

Katanya, hasil inovasi yang dihasilkan dapat meningkatkan lagi kualiti kerja dan mutu perkhidmatan majlis kepada pelanggan.

“Majlis juga mensasarkan bilangan penyertaan akan meningkat dari tahun ke tahun dan semua jabatan perlu mengambil bahagian di dalam pertandingan inovasi ini,” ujarnya.-UTUSAN ONLINE