Walaupun kebanyakan lebuh raya di negara ini diuruskan dengan baik, tetapi berbeza keadaannya bagi  penunggang motosikal terutama di sekitar Lembah Klang dan Selangor yang tidak berpuas hati dengan laluan motosikal yang disediakan oleh pihak konsesi lebuh raya di situ. 

Laluan yang dibina untuk melindungi penunggang motosikal daripada risiko kemalangan di laluan utama lebuh raya itu kini semakin dijauhi kerana dirasakan tidak selamat. 

Tinjauan Skuad Terjah kali ini melihat tahap keselamatan lorong motosikal di sepanjang Lebuhraya Shah Alam (Kesas)  yang kerap menjadi lokasi tragedi bagi penunggang motosikal.  


KUALA LUMPUR 17 Mei -  Nasib pengguna Lebuhraya Shah Alam (Kesas) yang menggunakan laluan motosikal kian terancam ekoran kerja-kerja penyelenggaraan di beberapa lokasi sepanjang lebuh raya itu.

Ekoran penutupan laluan ber­kenaan, penunggang motosikal tidak mempunyai pilihan selain memasuki laluan utama lebuh raya yang sesak de­ngan kenderaan.

Bagaimanapun, operasi penye­lenggaraan yang berterusan sejak beberapa bulan lalu seperti tidak pernah siap itu menimbulkan tanda tanya dalam kalangan pengguna laluan motosikal ber­kenaan.

Tinjauan Utusan Malaysia di sepanjang 30 kilometer laluan motosikal di situ mendapati sebahagian daripada kerja-kerja penyelenggaraan sudah melebihi tempoh masa yang ditetapkan di notis pemberitahuan.

Sepanjang laluan menuju ke Shah Alam, empat lencongan keluar ke lebuh raya utama adalah ditemui berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Awan Besar dan Plaza Tol Awan Besar Barat.

Keadaan ini pasti mengundang bahaya terutama pada waktu malam dan waktu puncak yang dipenuhi ribuan penunggang motosikal.

Oleh kerana terdapat ba­nyak lencongan, laluan yang tidak terurus dan sesetengah tempat tidak diterangi lampu jalan, ramai pengguna memilih untuk menggunakan lebuh raya utama bagi mengelak sebarang risiko kemalangan dan kejadian tidak diingini.