Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Muda, Yong Voon Sing berkata, masalah yang berlaku sejak 29 tahun lalu itu turut menyebabkan tebing sungai di belakang rumah mereka pecah akibat hakisan teruk.

Beliau berkata, keadaan itu turut dibimbangi membahayakan penduduk terutama kanak-kanak.

“Penduduk risau terutama apabila hujan lebat kerana permukaan konkrit pada tebing sungai itu tidak lagi kukuh dan semakin banyak yang pecah. Begitu juga dengan lantai konkrit di belakang rumah yang turut mendap.

“Saya berharap pihak berkaitan sama ada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) atau Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dapat mengambil tindakan bagi mengatasi masalah ini daripada menjadi lebih serius,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE