Menurut Glomac, sehingga tarikh semasa, kumpulan itu telah melancarkan projek baharu bernilai RM511 juta meliputi kira-kira 94 peratus daripada pelancaran sasaran pada tahun kewangan 2019.

Katanya, pelancaran baharu itu kekal pada segmen pasaran pertengahan dan mampu milik manakala projek kediaman bertanah yang sudah matang di bandar seperti Saujana Perdana di Sungai Buloh, Selangor dan Saujana Jaya di Kulai, Johor terus memaparkan angka jualan yang mantap.

“Glomac mempunyai portfolio pembangunan berpotensi yang kukuh dengan nilai pembangunan kasar (GDV) lebih RM7 bilion untuk terus menawarkan produk kepada pasaran umum,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Glomac merekodkan jualan baharu berjumlah RM217 juta dalam tempoh sembilan bulan tahun kewangan 2019, melebihi jualan RM214 juta tahun sebelumnya seterusnya meningkatkan jualan belum dibil kepada RM440 juta menjelang akhir Januari 2019.

Pada Anugerah Hartanah ASEAN Malaysia 2019 baru-baru ini, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Glomac, Datuk Seri FD Iskandar menerima Anugerah Kecemerlangan Kepimpinan manakala Glomac telah diiktiraf dengan Anugerah Pemaju Inovasi. - UTUSAN ONLINE