AIR Selangor akan terus mengerakkan bantuan lori-lori tangki dengan memfokuskan kepada kawasan yang masih belum pulih dan meneruskan pengoperasian empat Pusat Khidmat Setempat di Bandar Sultan Suleiman, Bandar Parkland, Taman Sri Andalas dan Batu Belah. - UTUSAN ONLINE

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi, Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd., Abdul Raof Ahmad berkata, aktiviti pemulihan dengan meningkatkan paras kolam dan tekanan di sistem agihan sedang dilakukan bagi menstabilkan bekalan di kawasan yang terjejas.

Katanya, kawasan yang masih dalam proses pemulihan sepenuhnya adalah Batu Belah; Bandar Sultan Sulaiman Fasa 1 dan 3; Bandar Puteri dan Putera 2; Berkeley/Eng Ann; Jalan Kapar Batu 1 hingga 5; Jalan Limbungan dan Jalan Syahbandar.

“Kawasan lain ialah Kampung Keretapi, Pangsapuri Sri Perantau, Parkland, Perindustrian Bandar Sultan Sulaiman, Perindustrian Bukit Raja Selatan, Pelabuhan Utara, Sungai Putus, Sungai Sireh dan Taman Sentosa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, status pemulihan akan dikemaskini dari semasa ke semasa dan pelanggan yang masih terjejas boleh menghubungi pihaknya di talian 15300 untuk bantuan atau merujuk aplikasi telefon bimbit Air Selangor untuk mandapatkan maklumat terkini.

“Bantuan dan permohonan bagi bantuan bekalan air melalui lori-lori tangki air akan terus digerakkan di samping operasi Pusat Khidmat Setempat yang diteruskan sehingga bekalan pulih,” katanya. - UTUSAN ONLINE