Gadis yang mahu dikenali sebagai Qaisara itu mendedahkan ketika video itu tular, dia baru sahaja menamatkan pengajian ijazah sarjana muda di sebuah universiti tempatan.

“Masa video itu tular, saya baru habis latihan praktikal untuk tahun akhir ‘degree’ saya. Sekarang saya dah tamatkan pengajian dan konvokesyen dijangka tahun depan.

“Ikutkan memang saya belum dapat sijil ‘degree’ sebab belum konvo, tapi saya dah habis ‘intern’ hampir sebulan dan dah habis belajar,” katanya seperti dipetik laporan portal mStar hari ini.

Sebelum ini, gara-gara menyuarakan pandangan berkenaan jumlah hantaran itu, Qaisara dikecam dan hangat diperdebatkan dalam laman media sosial.

Bagaimanapun, dalam video keduanya yang turut tular, Qaisara tetap mempertahankan pandangannya.

Dalam masa sama, Qaisara yang merupakan anak bongsu daripada enam beradik itu sedih apabila bapanya yang telah meninggal dunia tiga tahun lalu dituduh ‘gila duit’.

“Nak kritik saya ...kritiklah, tapi jangan babitkan keluarga saya terutama arwah ayah. Saya menangis bila ada yang sanggup kata arwah ‘gila duit’, katanya. - UTUSAN ONLINE