Ketua Dewan Pemuda Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan), Shahir Adnan berkata, kemelut perebutan tempat dalam menjawat jawatan Perdana Menteri yang disandang oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dilihat hanya lebih mementingkan status berbanding perkara utama dalam urusan pentadbiran negara.

“Kerajaan digesa memberikan fokus kepada masalah rakyat dan ekonomi negara daripada bergaduh merebut tempat menjadi pengganti Tun Dr. Mahathir.

“Biarlah beliau melaksanakan tanggungjawabnya tanpa diganggu-gugat oleh anasir-anasir konspirasi politik,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Shahir menambah, keadaan politik sebegini menyebabkan rakyat meluat dengan pimpinan yang tidak berkualiti daripada Menteri Pakatan Harapan di saat keadaan ekonomi semakin parah dan rakyat semakin tertekan.

“Di saat ringgit makin lemah serta pelabur asing saban hari keluar dari Malaysia, keadaan politik sebegini menyebabkan rakyat mual dan muak dengan tiada pimpinan berkualiti daripada Menteri Pakatan Harapan,” katanya.- UTUSAN ONLINE