Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Dr. Aminuddin Hassim berkata, acara yang memasuki edisi ke-10 itu dianjurkan oleh AKA Balloon Sdn. Bhd. bersama PPj.

“Acara utama dalam kalendar PPj 2019 itu dijangka lebih meriah dengan penyertaan barisan pengendali belon udara panas terkemuka dunia selain beberapa aktiviti sampingan disediakan buat semua lapisan masyarakat.

“Kita menyasarkan lebih 200,000 pengunjung akan menghadiri acara ini sekali gus menaikkan imej Putrajaya sebagai Pusat Pentadbiran Kerajaan yang mampu menganjurkan acara bertaraf antarabangsa,” katanya ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Fiesta Belon Udara Panas Putrajaya 2019, di sini.

Yang turut hadir, Pengerusi Fiesta Belon Udara Panas Putrajaya 2019, Muhammad Sobri Saad dan Ketua Pegawai Eksekutif AKA Balloon Sdn. Bhd., Izzati Khairudin.

Mengulas lanjut Aminuddin berkata, sebanyak 20 belon udara panas yang direka dalam pelbagai bentuk akan menyer­tai fiesta kali ini antaranya Taco the Octopos dari Jepun; Princess Nelly (Belgium); Clown Bruno (Slovakia); Pink Gnome (Sepanyol) dan Black Bear (Taiwan).

Selain itu katanya, fiesta yang akan berlangsung di Pre­sint 2, di sini turut memper-kenalkan ciri-ciri baharu yang membolehkan pengunjung melihat serta merakam kena­ngan sambil berlatar belakang pemandangan menarik.