Pengerusi Lembaga Pengelola, Dewan Bahasa dan Pustaka, Prof. Datuk Dr. Mohamed Hatta Shaharom berkata, melalui bahasa Melayu, masyarakat bukan sahaja dapat berkomunikasi dengan baik, malah mewujudkan persefahaman dan kerjasama khususnya antara kaum di negara ini.

“Menerusi festival yang diadakan ini, kita dapat lihat perjuangan memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan bukanlah bermakna menidakkan atau menafikan kepentingan bahasa ibunda kaum lain, sebaliknya merupakan bahasa penyatuan yang termaktub dalam perlembagaan negara.

“Oleh itu, kita sebagai masyarakat harus bertanggungjawab untuk mengekalkan keharmonian yang telah lama kita kecapi ini dengan menyemarak kecintaan bahasa kebangsaan, kefasihan pertuturan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam kalangan murid SJK Cina dan Tamil,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah festival itu di Auditorium DBP di sini hari ini.

Yang turut hadir Presiden Pusat Kebudayaan Han Malaysia (HCCM), Datuk Goh Hin San.

Festival itu merupakan anjuran DBP dengan kerjasama Kementerian Pendidikan, Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong), Persatuan Penterjemahan dan Penulisan Kreatif Malaysia (Perspektif) serta HCCM melibatkan 26 buah SJK dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak. - UTUSAN ONLINE