Mengikut laporan polis yang tular di media sosial, seorang lelaki mendakwa memberhentikan kenderaan dan Farid Kamil memaklumkan dia terlibat dalam kemalangan seterusnya meminta dihantar ke balai polis untuk membuat laporan.

Dalam perjalanan, pengadu turut membawa Farid Kamil ke sebuah restoran dan meminjam baju daripada rakannya kerana pelakon itu mengadu sedang kesejukan.

Bagaimanapun, ketika dalam kenderaan, pengadu mendakwa pelakon itu berkelakuan aneh dengan cuba mengambil gambar serta memegang stereng kereta ketika pengadu sedang memandu.

Ketika di balai polis, tiba-tiba Farid Kamil menampar pipi pengadu sebelum menampar seorang anggota polis yang cuba membantu.

Tidak cukup dengan itu, pengadu turut mendakwa Farid Kamil menendang perut dan kemaluan pengadu disaksikan beberapa anggota polis.

Terdahulu, dalam kejadian pada pukul 1.20 petang, selebriti berusia 36 tahun itu ditahan kerana bertindak menampar seorang anggota polis dan menendang seorang orang awam dalam kejadian di Balai Polis Trafik Kota Damansara, di Petaling Jaya sebelum didapati berada di bawah pengaruh ganja.-UTUSAN ONLINE