Pemberian kek itu disumbangkan oleh Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang mengunjungi sekolah terbabit sejak pukul 8.30 pagi untuk meraikan guru-guru.

Empat sekolah itu adalah Sekolah Menengah Kebangsan (SMK) Lubok China, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Sungai Baru, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Masjid Tanah dan Sekolah Kebangsaan Lubok Redan.

Sempena kunjungan itu, Mas Ermieyati yang merupakan Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan turut menyampaikan sejambak bunga kepada pengetua selain meluangkan masa beramah mesra dengan warga sekolah dan merakam gambar kenangan.

Beliau ketika ditemui berkata, program itu merupakan acara tradisi sejak dilantik menjadi ahli Parlimen sebagai ucapan terima kepada para guru yang mencurah bakti mendidik anak bangsa.

"Perkara ini bukan bersifat politik tetapi sebagai satu cara untuk menggembirakan warga pendidik supaya mereka berasa dihargai dan meraikan insan yang berjasa selain memberi semangat kepada pelajar untuk lebih gigih mencapai kejayaan.

"Saya juga amat berterima kasih kepada guru-guru dan pensyarah yang telah mendidik sejak dari tadika hingga universiti sehingga saya mampu berada pada tahap ini," katanya ketika ditemui hari ini.

Mas Ermieyati berkata, selain itu Pergerakan Wanita dan Puteri UMNO Bahagian Masjid Tanah turut membantu menghantarkan kek di 81 buah sekolah termasuk sekolah rendah, menengah dan Sekolah Rendah Agama (SRA) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dalam Parlimen tersebut. - UTUSAN ONLINE