Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmad berkata, kesemua mereka berusia 22 sehingga 24 tahun itu masih bebas dan dan usaha mengesan suspek kini sedang giat dijalankan.

Ujarnya, mereka dipercayai terbabit dengan kejadian jenayah terancang di Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Perak sejak tahun 2013.

“Sehubungan itu, pihak kita memohon orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan individu-individu ini boleh menghubungi atau terus ke mana-mana balai polis yang berdekatan.

“Mereka yang dikesan iaitu Mohd Fairus Hassan dikenali sebagai Lit atau Panjang, Mohd Aidee Fatehah Md Akhir dikenali sebagai Fatesh, Doddy Eddy dikenali sebagai Alan dan Muhammad Arif Amran dikenali sebagai Capang,” katanya di sini hari ini.

Pada 17 Ogos lalu, seramai 19 ahli kumpulan Emi Keju didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang atas pertuduhan menganggotai dan membantu kumpulan jenayah terancang.

Pertuduhan kesemua lelaki berusia antara 21 hingga 38 tahun itu dibacakan di hadapan Hakim Syafeera Mohd Said.

Dalam prosiding itu, tiada pengakuan direkodkan daripada mereka yang ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) dan kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Kumpulan penjenayah berbahaya dan paling dikehendaki terbabit dipercayai terlibat dalam 54 kes samun bersenjata membabitkan kerugian lebih RM4 juta sejak 2013.-UTUSAN ONLINE