Diskaun itu ditawarkan oleh pengendali syarikat konsesi Lebuh Raya Sungai Besi (Besraya) di Plaza Tol Mines dan Loke Yew, manakala, Lebuh Raya Baru Pantai (NPE) di Plaza Tol (Pantai Dalam), (PJS2) dan (PJS5). Sementara Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas) di Plaza Tol Ampangan sahaja.

Kesemua diskaun tol itu akan diberikan bermula pada 5 Jun dari pukul 12.00 tengah malam sehingga 11.59 malam.

Ketua Pegawai Operasi Divisyen Tol IJM, Wan Salwani Wan Yusoff berkata, pemberian diskaun itu adalah bagi menyokong hasrat kerajaan untuk meringankan beban rakyat dan sebagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat syarikat sempena sambutan hari raya yang akan tiba nanti.

“Seperti sebelum ini, pemberian diskaun tol kali ini lebih tertumpu untuk mengurangkan beban rakyat yang ingin menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga di kampung halaman dan pemberian itu juga menjadi tanggungjawab kami untuk menghargai serta meringankan beban pengguna lebuh raya”.

“Malah bagi memastikan perjalanan pulang berhari raya berjalan lancar, pasukan peronda kami akan memastikan keadaan lalu lintas di sepanjang lebuh raya terkawal. Sekiranya pengguna menghadapi sebarang masalah di lebuh raya, pasukan peronda kami akan menghulurkan bantuan secepat mungkin.

“Bagi memastikan laluan pengguna lancar, pengguna boleh mengikuti saluran media sosial kami di twitter dan Instagram atau menelefon talian bebas tol

kami yang beroperasi 24jam,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Wan Salwani berkata, Lebuh Raya Lekas menyediakan akses kepada pengguna dari bahagian timur Kuala Lumpur melalui Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2), Ampang, Cheras dan Kajang untuk ke Seremban dan Kuala Pilah.

“Bagi pengguna yang ingin ke Melaka dan Johor boleh menggunakan Lebuh Raya Utara-Selatan selepas keluar dari Persimpangan Paroi, Lebuh Raya Lekas.

“Manakala pengguna yang ingin ke Pahang boleh melalui laluan keluar Persimpangan Ampangan untuk ke Jalan Jelebu,” jelasnya. -UTUSAN ONLINE