Demikian rintihan pasangan warga emas bersama tiga anak­nya apabila rumah yang didiami mereka di Lorong Cempaka, Taman Sri Gombak Indah, Batu Caves di sini, dihempap pokok dalam kejadian 16 Jun lalu.

Mangsa, Kamaruddin Ismail, 70, berkata, dalam kejadian tersebut, sebatang pokok yang tumbuh di atas puncak bukit batu kapur di belakang rumah­nya tumbang lalu jatuh tepat menimpa kediamannya.

Kejadian pada pukul 9 malam itu berlaku ketika dia berada di dalam tandas sementara isteri dan anak kurang upaya mereka berada di ruang tamu.

Katanya, dia dan isteri, Faridah Hashim, 60, serta anak mereka, Mohd. Aniza Kamarudin, 41, dikejutkan dengan bunyi kuat yang disusuli dengan runtuhan struktur rumah.

“Saya terperangkap dalam tandas hanya mendengar je­ritan isteri yang kesakitan meminta tolong. Syukur kami selamat.

“Saya mengambil masa kira-kira setengah jam untuk keluar melalui dinding yang runtuh dengan bantuan penduduk kampung.

“Isteri dan anak saya pula berjaya dibawa keluar kira-kira 40 minit kemudian.

“Saya dan anak hanya mengalami cedera ringan tapi isteri cedera pada bahagian belakang leher akibat terkena runtuhan struktur rumah,” katanya ditemui di rumahnya di sini, baru-baru ini.

Kamaruddin yang merupakan pesara polis menyifatkan mereka sekeluarga sangat bertuah kerana masih terselamat dalam kejadian yang sangat dahsyat itu.

“Kejadian ini meranapkan hampir 100 peratus rumah kami dengan kerugian kira-kira RM50,000. Buat masa ini, saya dan keluarga diberi kebenaran untuk tinggal di dewan orang ramai yang terletak berhampiran.

“Kami juga menerima bantuan awal berupa keperluan makanan asas dan wang tunai daripada Jabatan kebajikan masyarakat (JKM),’’ katanya.

Kamaruddin berkata, buat masa ini beliau masih lagi ‘hilang punca’ untuk membina semula kediaman yang didiami sejak 30 tahun lalu.

“Kos untuk membina semula sebuah rumah bukan murah dan kami benar-benar mengharapkan bantuan pelbagai pihak,” katanya.

Orang ramai yang bersimpati dengan nasib keluarga ini dan ingin menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian menerusi nombor akaun CIMB 14140089070525 (Kamaruddin Ismail) atau menghubungi anaknya, Abdul Wahid Kamaruddin di talian 017-666 7086.