Lebih manis apabila kegembiraan pesta cahaya tidak hanya dirasai oleh masyarakat India tetapi juga rakyat pelbagai kaum yang mengambil kesempatan mengunjungi sahabat handai, selain merakamkan ucapan Deepavali di laman sosial Twitter, Facebook dan WhatsApp seiring semangat muhibah di negara ini.

Seperti kelaziman, perayaan itu dimeriahkan dengan tradisi rumah terbuka di kediaman masing-masing serta majlis anjuran parti politik dengan pelbagai juadah tradisional disajikan.

Di ibu negara, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyertai ribuan rakyat pada majlis rumah terbuka Deepavali anjuran MIC di perkarangan kompleks kuil Batu Caves, Selangor yang juga merupakan acara kemuncak sambutan perayaan itu.

Alunan muzik, paluan gendang, tiupan seruling, tarian tradisional turut memeriahkan majlis yang juga dihadiri Presiden MIC, Datuk Seri Dr S. Subramaniam dan pemimpin-pemimpin parti itu.

Perdana Menteri kemudian menyertai sambutan rumah terbuka anjuran MyPPP di Little India, Brickfields di sini sebelum berkunjung ke rumah terbuka Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI) di Jalan Sentul.

Di MELAKA, Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Dr. Mohd. Khalil Yaakob; Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron dan ratusan tetamu memeriahkan majlis rumah terbuka anjuran Pengerusi MIC negeri, Datuk M. S Mahadevan, yang juga Exco Hal Ehwal Syarikat, Sumber Manusia dan NGO di kediamannya di Taman Paya Rumput Indah Batu 9, Paya Rumput.

Orang ramai serta pelancong asing turut mengambil peluang sempena cuti Deepavali untuk mengunjungi kawasan tumpuan pelancong terutama di Bandar Hilir dan Ayer Keroh serta Little India Melaka di Jalan Bendahara yang meriah dengan hiasan berwarna-warni.

Di JOHOR BAHRU, Ketua Pemuda MIC negeri, S. Balakrishnan mengadakan rumah terbuka Deepavali selain sambutan ulang tahun kesembilan perkahwinan beliau dan isteri di kediamannya di Jalan Berangan, Taman Kota Jaya, Kota Tinggi.

Seperti di Melaka, beberapa lokasi pelancongan juga menjadi tumpuan orang ramai untuk beriadah seperti Taman Tema Legoland Malaysia, Taman Tema tertutup Thomas Town Puteri Harbour dan Sanrio Hello Kitty Town, Zoo Johor serta Austin

Heights Water & Adventure Park. - BERNAMA