MBPJ dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata, jumlah keseluruhan tunggakan cukai melibatkan premis di lokasi berkenaan adalah sebanyak RM1.11 juta.

Katanya, dalam operasi yang dilaksanakan bermula 16 hingga 19 Februari lalu itu, pihaknya bertindak membuat rampasan harta alih mengikut jumlah tunggakan.

“Pemilik premis yang dikenakan tindakan akan diberi tempoh sebanyak tujuh hari untuk membuat pembayaran penuh cukai tertunggak dan menuntut semula harta alih yang dirampas.

“Kegagalan membuat bayaran tunggakan dalam tempoh tujuh hari akan mengakibatkan harta alih tidak boleh dituntut dan akan dikategorikan sebagai barangan lelongan awam,” katanya.

Menurut kenyataan itu, MBPJ mengutip sebanyak RM66,837.25 bagi jumlah tunggakan cukai yang dibayar secara dalam talian semasa operasi selama tiga hari di kawasan tersebut.

“Bagi kutipan bayaran terkumpul di kaunter bergerak di Sri Damansara 12/1 pula ialah RM65,775.93,” katanya.

MBPJ berkata, tindakan itu dibuat mengikut Seksyen 148, Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan pihaknya akan meneruskan operasi sama di Damansara Damai dan Ara Damansara sehingga 2 April ini.

“Di Damansara Damai, kami merekodkan sebanyak RM3.47 juta cukai tertunggak melibatkan 1,640 premis manakala RM1.14 juta di Ara Damansara yang melibatkan 467 kes,” katanya.

Sehubungan itu, MPBJ mengingatkan pemilik premis yang mempunyai tunggakan cukai agar membuat bayaran segera bagi mengelakkan harta alih disita. - UTUSAN ONLINE