Dalam kenyataan, Maxis berkata terdapat sembilan peserta disenarai pendek bagi kategori bandar pintar, empat finalis bagi pembuatan pintar serta tujuh peserta akhir bagi pertanian pintar.

Cabaran itu dijalankan dengan kerjasama Malaysia Digital Economy Corporation Sdn. Bhd. (MDEC) untuk menggalakkan pembangunan ekonomi sistem penyelesaian Objek Rangkaian Internet (IoT) dalam kalangan syarikat yang bertujuan merancakkan ekonomi digital Malaysia.

Ketua Pegawai Perniagaan Enterpris Maxis, Paul McManus berkata, pihaknya kekal komited bagi mewujudkan dan mempercepatkan manfaat penerimagunaan IoT untuk semua perniagaan Malaysia, selain menerajui usaha Industri 4.0 di negara ini sejajar dengan agenda ekonomi digital kerajaan.

“Apabila kami memperkenalkan Cabaran IoT Maxis, matlamat kami adalah menyediakan platform kepada bakat terpendam untuk memikirkan cara baharu bagi menyelesaikan masalah perniagaan sebenar menggunakan penyelesaian pintar.

“Ini terutama dalam ‘Narrowband-IoT’ (NB-IoT), sama ada ia bertujuan menjadikan bandar lebih selamat, meningkatkan kecekapan hasil perladangan, atau menambah baik proses pembuatan. Terdapat peluang yang besar dalam teknologi ini,” katanya.

Cabaran bertema ‘Innovate our Tomorrow’ (Menginovasi Masa Depan Kita) itu mahu orang ramai memanfaatkan potensi NB-IoT untuk menangani masalah perniagaan sebenar dalam aspek bandar pintar, pembuatan pintar dan pertanian pintar.

Pertandingan itu menawarkan hadiah tunai masing-masing berjumlah RM15,000, RM10,000 dan RM5,000 bagi tiga pemenang teratas dan pendanaan awal sehingga RM100,000 selain sokongan mentor bagi idea berpotensi.

Bengkel IoT akan diadakan pada 20 Julai, sesi persediaan bermula pada 16 Ogos sebelum finalis mengetengahkan prototaip masing-masing kepada panel hakim pada 20 Ogos ini. Kesemua sesi ini akan diadakan di sini. - BERNAMA