Kini ia bukan lagi angan-angan kosong sebaliknya boleh direalisasikan melalui sukan air, Flyboard yang berpangkalan di tasik Marina Putrajaya, Presint 5 di sini.

Baru-baru ini penulis berkesempatan ke lokasi bagi melihat sendiri aktiviti itu yang dikatakan nampak mudah, tetapi sukar jika seseorang itu mudah panik dan kurang keyakinan.

Seorang ahli Flyboard Malaysia Sdn. Bhd., Muhammad Shukri Mohd. Ali ketika berkongsi pengalaman berkata, selain membentuk keyakinan diri, sukan tersebut juga mampu membina keyakinan diri seseorang.

Menurutnya, sebelum memulakan seseorang itu perlu benar-benar bersedia dan tidak mudah panik. “Keseimbangan kaki amat penting bagi memastikan peserta boleh terapung di atas permukaan air.

“Apabila tubuh badan tidak stabil dan berasa panik, peserta akan mudah jatuh ke dalam air,” katanya yang sempat melakukan aksi-aksi ala ‘Iron Man’ untuk tatapan penulis dan beberapa pengunjung.

Tambah Muhammad Shukri, bagi memastikan keselamatan sepanjang sesi setiap peserta dibekalkan dengan jaket keselamatan dan topi kaledar.

“Bantuan jet ski dan kasut Flyboard yang dilengkapi dengan hos getah sepanjang 18 meter akan disambung pada jet ski bagi melengkapkan lagi aksi.

“Sesi taklimat mengenai sukan tersebut termasuk ujian keyakinan diri bagi membiasakan peserta sewaktu berada di permukaan air akan diberikan.

“Selain itu posisi berenang turut diajar kepada peserta sama ada mendada atau berbaring di permukaan air untuk memastikan keselesaan dan cara mengawal Flyboard. Jika mereka berjaya mengawal tekanan air, mereka boleh terapung sehingga enam meter,” katanya.

Sementara itu, penaung Flyboard Malaysia, Raja Aris Dzulkifli pula berkata, pihak Flyboard Malaysia menyasarkan penyertaan ke kejohanan Flyboard dunia di Dubai pada November hadapan.

“Untuk menyertai kejohanan tersebut, video berdurasi selama dua minit memaparkan aksi-aksi Flyboard perlu dihantar kepada pihak penganjur dan panel akan menentukan sama ada layak atau tidak,” katanya.

Beliau turut berbangga kerana sukan yang pada asalnya merupakan hobi semata-mata turut disenarai sebagai pakej pelancongan Putrajaya.