Pada 5 petang, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 3.43 mata kepada 1,668.94 berbanding 1,672.37 pada Isnin.

Indeks penanda aras itu dibuka 0.88 mata lebih rendah kepada 1,671.49 pada awal dagangan dan bergerak dalam lingkungan 1,666.37 dan 1,672.47 sepanjang hari ini.

Kaunter rugi mengatasi untung iaitu 450 berbanding 407 manakala 412 lain tidak berubah, 586 tidak didagangkan dan 19 lain digantung.

Ketua Penyelidik Inter-Pacific Securities Pong Teng Siew berkata, para pelabur beralih kepada saham khusus yang disifatkan lebih stabil dan menjaminkan pulangan serta pelaburan amanah hartanah atau REIT, penjagaan kesihatan, teknologi, tenaga serta pembinaan.

Beliau berkata, dagangan hari ini turut diheret turun oleh saham-saham perladangan.

“Selain itu, langkah (kerajaan) menyambung semula projek-projek besar juga terbukti memberi kesan kepada saham berkaitan. Sektor tenaga misalnya menyaksikan aliran meningkat, disokong oleh perolehan yang lebih tinggi manakala sektor teknologi juga lebih ketara berikutan impak perang perdagangan Amerika Syarikat-China,” katanya kepada Bernama.

Menurut Pong, para pelabur juga berupaya mengenal pasti saham-saham yang terjejas akibat perang dagangan membabitkan dua kuasa besar ekonomi itu.

Akibatnya, sektor kewangan, kepenggunaan dan utiliti sebaliknya lebih cenderung untuk menyusut berikutan syarikat-syarikat berkaitan mencatatkan margin keuntungan lebih rendah. - BERNAMA