Penduduk mendakwa, lebih 20 kes kebakaran berlaku di PPR itu sejak 2008.

Terbaru kebakaran melibatkan sebuah unit di tingkat 15, Blok B PPR berkenaan pada 10 Mac lalu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam itu, rumah tersebut mengalami kemusnahan 40 peratus.

Walaupun sehingga ke hari ini tiada kemalangan jiwa direkodkan, kejadian itu tidak wajar dipandang sebelah mata oleh semua pihak.

Tinjauan Utusan Malaysia di perumahan bertingkat kendalian Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu mendapati PPR berkenaan gagal memenuhi keseluruhan aspek keselamatan kebakaran ditetapkan termasuk kekurangan pemasangan alat pemadam api.

Penduduk mendakwa kebakaran di perumahan itu berpunca daripada puntung rokok yang dibuang sesuka hati segelintir penghuni lain.

Ini didorong juga keadaan cuaca yang panas dan kering mudah menyebabkan kebakaran mudah merebak.

Pengerusi Persatuan Penduduk perumahan itu Abdul Rahim Ahmad berkata, kesedaran dalam kalangan penghuni terhadap aspek keselamatan kebakaran di perumahan itu masih rendah.

“Agak menyedihkan masih ada segelintir penghuni membuang puntung rokok sewenang-wenangnya terutama mereka yang tinggal di tingkat atas,.

“Mereka langsung tidak memikirkan perbuatan yang dianggap biasa boleh mengundang padah,” ujarnya.

Kata Abdul Rahim, persatuan akan berbincang dengan pihak bomba dan DBKL dalam usaha meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan dan pencegahan kebakaran dalam kalangan penghuni.