Disebalik gahnya nama Putrajaya ini, parti-parti pembang­kang memasang impian untuk merampasnya daripada tampuk pemerintahan BN, namun ia boleh disifatkan sebagai angan-angan mat jenin kerana Putrajaya dijaga elok oleh ketua kampungnya yang juga penyandang kerusi Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Malah ketika pengumuman calon gabungan pembangkang PKR baru-baru ini, terdengar bisik-bisik seorang pemimpin mereka sendiri yang mengakui terpaksa menghadapi laluan sukar untuk bertanding di Parlimen Putrajaya.

Putrajaya sangat beruntung mempunyai seorang ketua kampung yang sangat mesra rakyat, sentiasa turun padang untuk bertemu muka dengan para pe­ngundi dan keakraban yang ditonjolkan itu amat menyenangkan warga Putrajaya.

Bukan sahaja soal perumahan, malah makan minum, perubatan hatta pendidikan anak-anak turut diambil peduli oleh Tengku Adnan, beliau mahu semua penduduk Putrajaya menikmati limpahan kemakmuran daripada kerajaan BN.

Bermula daripada bantuan persekolahan untuk anak-a­nak­ sehingga kepada warga emas, semuanya dibantu tanpa mengira umur, bangsa dan agama kerana beliau mahu rakyat hidup selesa dan setiap kali berucap kata-kata sering dilontarkan ialah ‘Ceria, Ceria Selalu’... don't worry, be happy, you have me.

Dalam pertemuan bersama Tengku Adnan baru-baru ini, beliau berkata, pegangan hidupnya apabila menceburi dunia politik ialah apabila menjadi wakil rakyat kita adalah hamba kepada rakyat dan perlu bersedia untuk menghambakan diri berbakti dan menyelami permasalahan orang bawahan.

“Kami sudah seperti sebuah keluarga, jika ada kesusahan saya akan bantu mereka, sebagai manusia biasa, saya akui walaupun terdapat kekurangan sepanjang menjadi Ahli Parlimen Putrajaya, saya sedaya upaya melakukan yang terbaik untuk rakyat,” katanya.

Ditanya mengenai sikap segelintir kakitangan awam yang mengkritik kerajaan sebagai tanda protes, beliau memberikan reaksi, “Kerajaan BN merupakan satu kerajaan yang rasional, saya sendiri minta mereka sua­rakan apa kita lakukan itu betul atau tidak, jika tidak betul, sila sua­rakan. Kalau mereka betul, kita tidak lakukan,” katanya.