Terbaru, penduduk terpaksa menaiki lif dalam keadaan bergelap kerana lampu lif rosak dan tidak dibaiki sejak seminggu lalu.

Penduduk mendakwa mereka tiada pilihan selain terpaksa menggunakan kemudahan itu kerana hanya sebuah daripada tiga lif berfungsi.

Tinjauan Utusan Malaysia ke kawasan perumahan itu pada sebelah malam baru-baru in mendapati, aduan penduduk berasas apabila mereka terpaksa bergantung kepada lampu daripada telefon bimbit untuk menekan butang lif naik ke tingkat perumahan masing-masing.

Keadaan gelap di dalam lif jelas mengundang bahaya kepada penghuni terutama kaum wanita, warga emas dan kanak-kanak.

Utusan Malaysia difahamkan masalah serupa pernah berlaku dua bulan lalu tetapi di blok berlainan dan mengambil masa hampir sebulan untuk dibaik pulih.

Pengerusi Persatuan Kebajikan Penduduk Desa Tun Razak, Anuar Sudin berkata, pihaknya tidak menolak kerosakan lampu lif di perumahan itu disebabkan perbuatan vandalisme segelin­tir penduduk,

“Pihak kami pernah terjumpa lampu lif yang telah dileraikan di sekitar kawasan perumahan ini.

“Aduan telah dibuat kepada DBKL, namun sehingga hari ini tiada kerja-kerja baik pulih dilakukan, Mungkin ia memerlukan masa untuk menukar kepada yang baharu. Lagipun, masalah ini bukan disebabkan kecuaian daripada pihak berkuasa tempatan itu, sebaliknya penduduk sendiri,” katanya.