Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah ne­geri, Low Chee Leong berkata, walaupun kesedaran menderma darah dalam kalangan masyarakat masih belum tinggi namun stok bekalan di tabung darah hospital tersebut sentiasa ada.

Menurutnya, sehingga hari ini, terdapat kira-kira 3,500 pek darah pelbagai jenis tersedia di hospital itu untuk kegunaan pesakit termasuk untuk hospital-hospital lain di negeri ini.

“Bagaimanapun, kita akan terus menggiatkan kempen menderma darah dari semasa ke semasa bagi memastikan bekalan darah sentiasa stabil untuk kegunaan pesakit yang memerlukan.

“Diharap usaha berterusan ini dapat membantu kita mencapai sasaran 30,000 pek darah setiap tahun,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Kempen Menderma Darah 2019 di Sekolah Kebangsaan Ayer Merbau, di sini, baru-baru ini.

Jelas Chee Leong, setiap tahun pihaknya menyasarkan sebanyak 30,000 pek darah melalui kempen-kempen derma darah atau sumbangan terus di tabung darah Hospital Melaka.

“Walaupun pada tahun lalu kami tidak berjaya capai sasaran tersebut, kita akan pastikan tahun ini jumlah 30,000 pek darah itu dapat dicapai demi menampung keperluan pesakit,” ujarnya.

Selain itu katanya, tahap kesedaran mengenai faedah menderma darah yang masih rendah antara penyebab tidak ramai yang melaksa­nakan tanggungjawab tersebut.

“Selain faedah kesihatan seperti mengurangkan risiko sakit jantung, penderma darah juga boleh menikmati keistimewaan jika mereka mendapatkan rawatan di hospital-hospital kerajaan,” katanya.