Gibraltar BSN dan Boost dalam kenyataan berkata, kerjasama itu merupakan yang pertama seumpamanya antara syarikat insurans hayat dan penyedia perkhidmatan e-dompet mudah alih di Malaysia.

Katanya, kerjasama lebih mendalam itu dimeterai susulan kedua-kedua syarikat meneroka peluang untuk menyediakan insurans hayat yang lebih mudah, relevan dan mampu milik kepada rakyat Malaysia menerusi e-dompet mudah alih Boost.

“Untuk membayar premium daripada aplikasi Boost, pengguna perlu melakukan sekali sahaja dengan menambah nombor polisi mereka. Setelah selesai, pengguna hanya perlu memilih polisi insurans, masukkan jumlah pembayaran dan mengesahkannya menerusi nombor pin atau biometrik,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Gibraltar BSN, Rangam Bir berkata, pihaknya kini boleh menawarkan pelanggan dengan kaedah pembayaran alternatif tanpa tunai, selamat dan mudah.

Katanya, usaha itu sebahagian daripada usaha bersepadu syarikat di bawah transformasi digital untuk memanfaatkan peluang yang akan meningkatkan proses dalaman di samping pengalaman pelanggan.

“Kami sentiasa mencari rakan kongsi yang saling menguntungkan untuk meningkat nilai pelanggan kami yang akhirnya membantu menaikkan kadar penembusan insurans di negara ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, CEO Axiata Digital Services Sdn. Bhd., Mohd. Khairil Abdullah berkata, kerjasama tersebut memberikan nilai tambah kepada pelanggan Gibraltar BSN yang juga pengguna Boost.

“Langkah ini dapat memacu agenda tanpa tunai negara selari dengan hala tuju kerajaan,” katanya.

HABIS...