Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad berkata, bantuan untuk pelajar kurang berkemampuan itu akan diserahkan kepada 13 parlimen di tiga kawasan wilayah persekutuan dengan masing-masing menerima peruntukan sebanyak RM50,000.

“Bantuan ini sebagai usaha meringankan beban kewangan yang ditanggung oleh ibu-bapa pelajar menjelang penggal persekolahan baharu pada tahun depan.

“Saya harap sumbangan ini akan menggembirakan ahli keluarga penerima dan menaikkan semangat para pelajar untuk memulakan langkah ke alam persekolahan,” katanya ketika berucap merasmikan penutupan Karnival Kembali ke Sekolah di Kerinchi, baru-baru ini.

Karnival selama tiga hari yang bermula Jumaat lalu itu antara lain mengetengahkan aktiviti jualan berupa pakaian dan peralatan persekolahan daripada Balqis Textiles dengan menawarkan potongan harga sehingga 50 peratus.

Pada majlis itu, beliau turut menyerahkan sumbangan berupa bantuan persekolahan bernilai RM54,000 daripada Yayasan Generasi Malaysia dan Pertubuhan Anak Kerinchi Lembah Pantai kepada 300 murid kurang berkemampuan di kawasan Lembah Pantai.

Sementara itu, mengulas mengenai isu larangan operasi pusat hiburan di ibu kota selepas pukul 1 pagi mulai tahun depan, Khalid menjelaskan ia bergantung kepada lesen atau permit yang diberikan kepada premis terbabit dan perlu mengikut had operasi yang dibenarkan.

“Buat masa ini lesen pusat hiburan ada tiga waktu operasi, sehingga pukul 1 pagi, 3 pagi dan 5 pagi tetapi banyak pusat hiburan di sini (Wilayah Persekutuan) yang tidak mengikut waktu operasi seperti yang ditulis dalam lesen mereka.

“Banyak kali dalam operasi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), pusat hiburan yang tutup pukul 5 ini penuh dengan warga tempatan, tiada pelancong asing, jadi dengan kajian semula nanti kita akan tentukan waktu operasi pusat hiburan yang sesuai,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, cadangan menentukan semula waktu operasi pusat hiburan akan dibawa berbincang dalam mesyuarat Majlis Menteri yang dijadualkan pertengahan Disember ini.

“Mesyuarat ini akan dianggotai oleh semua ahli parlimen di Wilayah Persekutuan untuk memberikan pendapat dalam menentukan waktu operasi sesuai berdasarkan lokasi pusat hiburan berkenaan,” katanya.

habis.