Malah, rata-rata menyifatkan kemudahan tersebut jelas merupakan bantuan yang diperlukan dan lahir daripada denyut nadi rakyat dan ia terus dimanfaatkan oleh golongan sasar khususnya penduduk yang tergolong dalam kalangan berpendapatan rendah.

Bagi ibu kepada tiga anak, Rosmawati Azman, 35, bantuan itu dapat meringankan beban tanggungan keluarganya terutama kos pengangkutan untuk ke sekolah.

“Sebelum kerajaan memperkenalkan inisiatif ini, kami terpaksa membiayai kos pengangkutan seperti menyewa van sehingga mencecah RM300 sebulan untuk seorang anak.

“Jika dikira jumlah anak, itu sudah cukup menghimpit kami yang hanya mempunyai pendapatan bulanan yang sederhana,” kata suri rumah itu ketika ditemui Utusan Malaysia, di PA Seri Sabah, hari ini.

Sementara itu, pekerja swasta, Mohd. Sakri Jamaluddin, 39, berharap agar inisiatif itu akan diteruskan dengan menambah jumlah kenderaan dan penerima perkhidmatan tersebut.

Menurutnya, golongan ibu bapa sudah mula memikirkan kos pendidikan yang perlu ditanggung pada tahun hadapan dan keadaan ekonomi semasa sedikit sebanyak menimbulkan kebimbangan.

“Diharapkan agar kerajaan sedia dapat terus dapat membantu rakyat dengan mengurangkan bebanan kos sara hidup meskipun dalam jumlah yang kecil,” katanya lagi. - UTUSAN ONLINE