Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S. Veerapan berkata, usaha tersebut misalnya boleh dila­ksanakan dalam bentuk penajaan cecair pencuci atau sanitiser untuk kegunaan murid-murid di sekolah.

“Kes wabak HFMD telah me­ningkat sebanyak 258 peratus di Negeri Sembilan pada tahun ini. Kita sentiasa menjalankan kempen pencegahan untuk menge­lakkan kanak-kanak tidak dijangkiti penyakit ini.

“Justeru, saya menyeru pihak swasta supaya menyokong kempen ini dengan menyumbangkan sanitiser kepada sekolah sebagai usaha mencegah jangkitan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Khid­mat Masyarakat dan Kempen Denggi Patrol di Kompleks Peng­urusan Hospital Port Dickson di sini hari ini.

Sebanyak 40 pelajar dari 10 buah sekolah daerah ini yang menganggotai Persatuan Bulan Sabit Merah menyertai program tersebut.

Dalam tempoh bermula 1 Januari hingga 11 Ogos lalu, sebanyak 2,134 kes HFMD dilaporkan di negeri ini berbanding 598 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

Kes tertinggi dicatatkan di daerah Seremban iaitu 489 kes diikuti Port Dickson (160 kes) Jempol (156 kes), Kuala Pilah (131 kes), Rembau (96 kes), Jelebu (62 kes) dan Tampin (58 kes).

Mengulas mengenai wabak denggi di negeri ini, Veerapan berkata, ia boleh dibasmi sekiranya masyarakat mempunyai ke­sedaran menjaga kebersihan kawasan bagi mengelak pembiakan nyamuk aedes.

“Sikap pentingkan diri dan tidak mahu ambil tahu menjadi punca utama wabak denggi terus berleluasa.

“Usaha menerapkan ke­sedaran terhadap kepentingan menjaga kebersihan perlu bermula dari rumah supaya kita dapat hapuskan nyamuk aedes,” katanya.