Penyediaan ruang parkir secara bersistematik dan keupayaan menampung keperluan penduduk menjadi salah satu penentu kelancaran aliran trafik khususnya di kawasan kediaman penduduk.

Namun penyediaan ruang parkir secara berlebihan juga dikatakan menjadi punca ramai warga kota memilih untuk memandu kenderaan sendiri ke tempat kerja yang secara tidak langsung menyebabkan kesesakan dan pencemaran udara.

Justeru itu, usaha kerajaan mencari titik keseimbangan dalam memenuhi keperluan kemudahan itu bukan sesuatu yang mudah apatah lagi dalam keadaan sistem pengangkutan awam yang masih dalam peringkat pembangunan.  

Salah satu daripada kawasan yang teruk dilanda masalah itu adalah di kediaman bertingkat seperti pangsapuri terutama di Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA).

Walaupun setiap penghuni disediakan dengan unit parkir masing-masing, pemilikan kenderaan yang lebih daripada seunit menjadikan masalah parkir semakin berleluasa.

Menyedari masalah yang se­makin kritikal, kerajaan melalui Kementerian Wilayah mengumumkan pembinaan 14 bangunan parkir bertingkat di kawasan PPR dan PA di ibu kota.

Pembinaan bangunan parkir yang menyediakan kira-kira 500 petak letak kenderaan itu di setiap bangunan itu diharap dapat menyurai kesesakan yang berlaku di kawasan kediaman dan sepanjang laluan yang menjadi mangsa parkir haram.

Selain menyelesaikan masa­lah yang sekian lama membe­lenggu penduduk, kemudahan itu juga dibangunkan bersama pelbagai kemudahan orang ramai seperti pusat komuniti, dewan serbaguna, gelanggang badminton, gelanggang futsal, kedai serbaneka, perpustakaan, bilik komputer dan banyak lagi.

Kemudahan parkir setinggi lapan tingkat bangunan yang sudah mula beroperasi di beberapa kawasan PPR dan PA di ibu kota itu diharap dapat dimanfaatkan sepenuhnya sebagai pusat perkembangan sosial ekonomi kepada penduduk.