Bagaimanapun, setiap restoran mahupun gerai pasti mempunyai rahsia tersendiri untuk menerbitkan rasa berlainan untuk melambangkan identiti asam pedas mereka.

Begitu juga dengan gerai Joholious yang beroperasi di Suria Mall di Putrajaya yang mempunyai resepi rahsia asam pedas tersendiri yang sempurna dan sedap di mata pelanggan mereka.

Pemiliknya, Faridah Manisah Mohd. Mazlan, 42, berkata, kuah yang pekat dengan gabungan pelbagai rempah ratus bersama pelbagai variasi asam pedas menjadi pelengkap asam pedas yang dijualnya.

"Antara variasi asam pedas yang terdapat di Joholious ialah asam pedas ayam, asam pedas daging tetel, asam pedas ikan kembung, asam pedas ikan tenggiri, asam pedas ikan jenahak dan asam pedas ikan pari.

"Bukan itu sahaja, set talapia goreng, sotong goreng, nasi goreng asam pedas juga menjadi pilihan hati para pelanggan terutamanya pada waktu makan tengahari," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Menurut Faridah Manisah, asam pedas yang dijual di Joholious dihidangkan dengan set sajian yang lengkap iaitu bersama nasi putih, telur asing, ulam-ulaman, dan papadom agar para pelanggan berpuas hati.

Selain itu, katanya, Joholious yang diusahakan bersama rakan kongsinya, Shafirah Hasnol, 34, itu baharu sahaja beroperasi di Suria Mall namun, mendapat sambutan yang amat baik daripada pelanggan.

"Kadar harga asam pedas yang dijual ialah bermula RM7.90 hingga RM15.90. Harga yang ditawarkan amat berpatutan dan setimpal dengan keenakan asam pedas kami yang mempunyai citarasanya tersendiri," katanya.

Tambah Faridah Manisah, idea untuk membuka Joholious tercetus apabila dia dan rakan kongsinya sangat menyukai masakan asam pedas dan mahukan hidangan itu dikenali secara meluas.

"Apa yang boleh saya katakan, kelainan asam pedas kami yang menggunakan slogan ‘sedap cenggini’ sebenarnya terletak kepada kepekatan kuah dan rasa pedas-pedas 'manja', sedikit masam serta tidak menggunakan halba seperti asam pedas lain.

"Menu asam pedas paling yang digemari pelanggan ialah asam pedas ikan pari dan asam pedas daging tetel kerana tekstur ikan pari dan daging yang lembut dengan kuah yang pekat sudah cukup membuka selera," katanya.

Dalam pada itu katanya, walaupun Joholious adalah ‘new born’, dia dan rakan kongsi berhasrat untuk membuka cawangan lain dan menambah lebih banyak lagi menu seperti roti jala asam pedas dan roti canai asam pedas. - UTUSAN ONLINE