Pernah dikecam hebat kerana mempamerkan persembahan teruk sewaktu penganjuran majlis Anugerah Industri Muzik ke-19 (AIM 19), Ary enggan peristiwa silam itu membelenggu perjalanan karier nyanyiannya dan bangkit semula dengan memilih karya ciptaan Haqiem Rusli.

“Sebelum ini saya pernah tampil menerusi single solo pertama berjudul Janji Palsu yang dicipta oleh Adi Priyo dan menerima maklum balas positif peminat.

“Namun, entah di mana silapnya, lagu itu kurang dimainkan di stesen-stesen radio sekali gus ramai peminat beranggapan saya sudah hilang dari lapangan seni suara tanah air.

“Lantaran itu, dengan kerjasama pihak Sony Music Malaysia, saya tampil dengan Cinta dan Rindu untuk membuktikan kelangsungan kerjaya seni saya,” katanya kepada Utusan Online.

Melihat Haqiem sebagai seorang komposer muda yang berdaya saing, Ary berharap gubahan penyanyi remaja berkenaan mampu meletakkan kembali namanya sebagai salah seorang penyanyi di Malaysia.

Katanya, karya milik Haqiem bukan sahaja segar, tetapi menepati cita rasanya yang gemarkan sebuah lagu berentak pop rock.

“Menariknya, klip video Cinta dan Rindu dibintangi oleh Jaa Suzuran, penyampai radio Era FM yang terkenal dengan aksi spontannya yang gila-gila,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE