Ketua Penerangan UMNO itu berkata, bantuan tersebut tidak banyak tetapi sekurang-kurangnya boleh digunakan untuk berbelanja juadah berbuka puasa hari ini.

Sehubungan itu, beliau merayu kepada kerajaan khususnya Menteri Kewangan, Lim Guan Eng supaya mempertimbangkan semula penamatan perkhidmatan tersebut, lebih-lebih lagi ketika umat Islam menyambut kedatangan Ramadan dan bersiap untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri.

“Setahu saya di Kelantan, mereka ini telah berkhidmat hampir 30 tahun, sejak tahun 1990 dan diwujudkan atas ihsan Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Mereka merupakan guru al-Quran, guru takmir, mubaligh, orang alim, agamawan dan kebanyakkannya bukan semestinya aktivis politik. Selain daripada merayu kepada Menteri Kewangan, apakah lagi yang saya boleh buat?” soal beliau dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Annuar meminta kerajaan Pakatan Harapan mempertimbangkan tindakan menamatkan perkhidmatan pegawai agama Islam yang dilakukan menjelang Ramadan.

Beliau berharap kerajaan tidak melakukan penganiayaan dan mempertimbangkan nasib lebih 30,000 pegawai agama Islam di negara ini sekiranya mereka kehilangan pekerjaan. - UTUSAN ONLINE