Dalam hal yang sama, kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu memastikan kadar inflasi negara tidak meningkat secara dramatik selepas pelaksanaan subsidi petrol bersasar.

Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna perlu melihat semula kadar inflasi yang berlaku pada Mac 2015 selepas sistem apungan minyak diperkenalkan sebelum itu.

"Kadar inflasi meningkat hampir satu peratus pada Mac 2015 akibat kos pengangkutan yang tinggi malah harga makanan dan minuman turut menyaksikan kenaikan sebanyak 2.5 peratus manakala bil air, elektrik dan lain-lain pada 2.1 peratus.

"Kami faham keperluan untuk negara mengurangkan kos subsidi amat penting untuk pembangunan negara tetapi dalam hal ini kerajaan tidak boleh lupa bahawa masyarakat masih berdepan dengan kos sara hidup yang tinggi," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memberitahu, kerajaan sudah bersedia sepenuhnya melaksanakan subsidi petrol bersasar dan hanya menunggu senarai penerima Bantuan Sara Hidup (BSH).

"Kita mahu penerima subsidi bersasar nanti hanya golongan yang benar-benar layak. Sekretariat BSH pada bila-bila masa saja akan berkongsi data dengan pihak kementerian, yang mana layak kita akan kekalkan dan tidak layak, dikeluarkan,” katanya. - UTUSAN ONLINE