Pengerusi Eksekutif Al Ansar IBS, Datuk Sri Muhamad Khanafi Husin berkata, kediaman yang dijual dengan harga RM69,000 bagi seunit itu mempunyai dua bilik tidur dan satu bilik air .

Menurutnya, ia bukan sahaja memberi peluang kepada golongan muda memiliki kediaman sendiri tetapi juga membantu merealisasikan hasrat kerajaan yang menyasarkan 10 juta unit rumah dibina dalam tempoh 10 akan datang.

"Syarikat menyasarkan jualan sebanyak RM66 juta tahun ini termasuk projek di Lombok, Indonesia.

“Idea pembinaan rumah RIA diambil daripada projek di Lombok yang dikenali sebagai Rumah Instant Tahan Gempa (RITA) yang dibina selepas nahas gempa melanda Lombok pada Ogos tahun lalu," katanya dalam kenyataan akhbarnya hari ini.

Tambah Muhamad Khanafi, harga rumah RIA ditawarkan serendah RM69,000 seunit kepada 30 pembeli pertama berbanding harga asal iaitu RM79,000 seunit.

Katanya, tawaran rumah mampu milik ini dapat memberi peluang kepada golongan pertengahan untuk memiliki aset pada usia muda dan boleh dijadikan sebagai rumah 'ibu' kepada pemiliknya kerana struktur dinding disambung menggunakan skru.

"Pada masa akan datang boleh ditambah atau dibesarkan mengikut bajet. Struktur dalaman juga dikekalkan tanpa melibatkan kos pecah dinding. RIA juga menggunakan inovasi Sistem Binaan Berindustri (IBS) yang siap dibina dalam tempoh kurang dua bulan," katanya.

Sebarang pertanyaan mengenai rumah RIA boleh terus menghubungi Al Ansar IBS di talian Hotline 011-1310 7086 atau 011-1310 7525 atau laman sosial Facebook Banglo IBS dan Instagram @bangloibs. - UTUSAN ONLINE