Ketua UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Rizalman Mokhtar berkata, penjaja terbabit akan dipindahkan di beberapa kawasan seperti Pusat Penjaja Pekan Su­ngai Besi, Dewan Merdeka Sungai Besi dan Pasar Sungai Besi.

“Pekan Sungai Besi selama ini dikenali dengan pekan tradisional berbanding pembangunan pesat di Lakefield berdekatan dengan pekan itu. Jadi, ia agak ketinggalan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil inisia­tif melaksanakan program pembangunan dan pengindahan semula pekan tersebut.

“Pekan ini akan dinaik taraf secara keseluruhan dan pada masa sama mengekalkan konsep ba­ngunan warisan di situ. Bagi menjayakan program ini, kita terpaksa menyusun semula para penjaja sedia ada supaya daripada segi susun atur premis akan memberi keselesaan kepada peniaga dan menambah bilangan pengunjung,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas hadir sesi pengundian gerai para penjaja terbabit di sini.

Sementara itu, Rizalman yang juga Ahli Lembaga Penasihat DBKL berkata, beliau berharap pembinaan Pusat Penjaja Pekan Sungai Besi dapat disiapkan segera bagi memastikan penjaja terlibat dapat berniaga di situ.

“Difahamkan projek itu terhenti dan tidak berjalan seperti yang ditetapkan. Saya berharap pihak Kementerian Wilayah Persekutuan dan DBKL dapat menyelesaikan masalah ini dan kita tidak mahu penjaja dibiarkan berniaga di merata-rata tempat.

Tambahnya, beliau mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak persatuan dan penjaja terlibat kerana memberikan kerjasama berhubung perkara itu.

Projek pengindahan pekan Su­ngai Besi itu merangkumi kerja-kerja naik taraf Pasar Sungai Besi, mengecat semula bangunan rumah kedai serta mempertingkatkan kualiti kemudahan asas se­perti jalan raya dan laluan pejalan kaki.