Peniaga mendakwa penutupan operasi bermula 10 Februari lalu telah menjejaskan periuk nasi mereka yang bergantung sepenuhnya kepada perniagaan itu.

Lebih menimbulkan rasa terkilan keputusan itu dibuat tanpa sebarang perbincangan bersama mereka.

Pengerusi AJK Ahli Jawatankuasa (AJK) Badan Bertindak Pasar Malam Sri Selangor, Mohamad Bulkhairi Ismail berkata, alasan pasar malam yang bero-perasi setiap hari Ahad bermula pukul 4 hingga 10 malam itu telah menyebabkan kesesakan lalu lintas di kawasan itu adalah tidak boleh diterima.

Menurutnya, sejak berope­rasi hampir 40 tahun tidak timbul sebarang rungutan atau isu berkaitan kesesakan lalu lintas .

“Sehingga ke hari ini tiada sebarang notis rasmi dikeluarkan pihak berkuasa tempatan itu berhubung penutupan tersebut.

“Peniaga berharap masalah ini dapat diselesaikan oleh DBKL dengan segera dan tidak terus bersikap lepas tangan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Ujarnya, peniaga tidak mempunyai masalah sekiranya diarah berpindah ke lokasi baharu.

“Apa yang berlaku sebalik-nya apabila DBKL tidak menyediakan lokasi sementara atau baharu untuk kami meneruskan perniagaan,” katanya yang turut mencadangkan Jalan Merlimau, berdekatan tapak pasar pagi lama sebagai lokasi baharu jika sesuai.

Utusan Malaysia turut difahamkan, peniaga akan turut membuat laporan polis dan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu tersebut.