Kerajaan sebelum ini melalui Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) melancarkan perkhidmatan bas GO-KL sebagai kemudahan percuma kepada warga kota.

Perkhidmatan yang kini berada di bawah pengurusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu dilengkapi pelbagai kemudahan seperti internet tanpa wayar, kamera litar tertutup (CCTV), ruang tempat duduk yang selesa selain mesra orang kurang upaya (OKU) dan warga emas.

Namun sejak diperkenalkan pada Ogos 2012, sejauh manakah kemudahan itu dimanfaatkan oleh rakyat terutama dalam kalangan warga kota ekoran ‘persaingan sengit’ dengan warga asing yang lebih banyak menggunakan perkhidmatan itu.

Dilaporkan, sekurang-ku­rang­nya 40 peratus daripada penumpang bas GO-KL terdiri daripada warga asing yang bekerja di sekitar ibu kota.

Walaupun tiada halangan dikenakan kepada golongan tersebut, keadaan itu sedikit sebanyak menimbulkan rasa tidak selesa kepada penumpang warga tempatan.

Tinjauan Utusan Malaysia baru-baru ini mendapati orang ramai mahu kerajaan mengkaji semula mekanisma perkhidmatan itu untuk memastikan manfaatnya diterima oleh warga tempatan.

Ada yang mencadangkan kerajaan mengenakan caj tertentu kepada warga asing bagi mengurangkan kebergantungan mereka pada perkhidmatan percuma itu.

Bagaimanapun ia tidak seharusnya dilihat sebagai satu bentuk diskriminasi tetapi diharap dapat memberi keutamaan dan menggalakkan warga tempatan menggunakan bas berkenaan.

Sementara itu, kemudahan yang sama (percuma) masih wajar diberikan kepada pelancong dengan pembuktian dokumen perjalanan yang sah memandang ia dapat menggalakkan aktiviti pelancongan di ibu kota.